(Malay Rights: Where Are We Heading?
Oleh: Kim Quek
Lapuran terkini mengenai kesediaan presiden PAS dan Keadilan untuk bersemuka
dengan
Presiden UMNO Mahathir Mohamad dan membincangkan isu hak orang Melayu adalah
satu ingatan
jelas betapa masih wujud satu garis pemisah berkaitan dengan kesetiaan kaum
dalam
percaturan politik negara. Rekahan yang mendominasi politik ini telah
mencetuskan
perkataan 'kotor ' apabila suasana politik negara dibincangkan sejak empat
dekad yang
sudah pun berlalu. Inilah juga rekahannya yang akan mengumpil jurang pemisah
perkauman
itu sehingga mampu menelan semangat perkauman, seandainya keadaan itu tidak
ditangani
dengan penuh bijaksana oleh kepimpinan PAS dan KeADILan.
PAS dan Keadilan memang sedang digeletek arus gelombang penelitian orang Melayu
sehingga
mampu menggugat kedudukan mereka. Keadaan ini diperkuatkan agahannya oleh
gelagat media
tajaan UMNO yang terus memainkan api sentimen perkauman yang menakutkan dan juga
menaikkan amarah, setiap hari. Lantas, PAS dan Keadilan menghadapi ugutan yang
tidak
ketara bahayanya kalau mereka memperlekehkan begitu sahaja acahan UMNO itu.
Sebaliknya, perbincangan perpaduan satu kaum yang mahu dibincangkan oleh
Mahathir dengan
membabitkan tiga parti politik ini mencerminkan satu usaha yang menyanggah asas
perjuangan Barisan Alternatif (BA). Ia akan meminggirkan rakan-rakan bukan
Melayu dan
menggugat semangat sokongan orang Cina terhadap BA, seperti yang amat jelas
dan
menonjol dan tanpa was-was dibuktikan oleh mereka pada pilihan raya kecil Lunas
yang baru
berlalu.
Oleh itu, kemanakah kita selepas ini?
Jawapannya terletak kepada isu sebenar kepentingan masyarakat Melayu itu.
Mereka
terpaksa membuat pilihan di antara kesinambungan kuasa pemerintahan Mahathir
yang penuh
bergelumang dengan korupsi dan kronisme dalam isu hak Melayu itu. Ataupun,
mengasaskan
satu bentuk kepimpinan yang baru, merangkumi insan yang berbilang kaum yang
mampu
menegakkan kepimpinan yang telus dan bersih dan kerajaan yang berwibawa.
Bagaimanakah gerangannya beribu juta wang rakyat marhaen untuk yang diperah
membantu
kemalapan usaha niaga para kroni yang muflis (seperti penyuntikan sekitar 6
ribu juta
kepada Renong dan LRT serta 1.8 bilion kepada Tajudin untuk menyelamatkan MAS)
dapat
membantu keadaan hidup tertekan masyarakat rakyat marhaen itu? Bagaimana pula
gerangannya
ketiadaan daya saing dan ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan yang
bernilai
ribuan juta kepada para kroni itu dapat memperbaiki daya saing peniaga Melayu
secara
amnya? Dapatkah pembaziran yang beribu juta nilainya itu membantu proses
menaikkan
martabat kewangan Melayu marhaen?
Segala jawapan kepada soalan di atas akan menyerlahkan betapa kerajaan Mahathir
sudah
menyamun berbilion hak rakyat Melayu marhaen dengan segala tipu daya dan
kelentongan.
Mahathir menggunakan hak keistimewaan Melayu itu sebagai cogan katanya untuk
menopengi
kerja bajingannya sehinggakan segala faedah yang sepatutnya dinikmati oleh
Melayu marhaen
itu lesap dibalunnya. Dalam usaha bajingannya itu, Mahathir telah menyuntik satu
budaya
kerja yang memilih kasih dan pemberian faedah tanpa daya saing hingga
menyuburkan budaya
politik wang dan korupsi. Bukti yang paling menyerlah kepada dua budaya jijik
ini
terletak kepada keruntuhan yang kini dialami oleh kebanyakan perniagaan para
kroni dan taiko-taiko pilihan Mahathir dan juga kepada penolakan orang Melayu terhadap
UMNO yang
sudah dianggap sebagai satu jentera politik yang sungguh korup yang kewujudannya
untuk
membenarkan para pemimpin politik terus bergelumang dalam lumpur kehinaan
rasuah .
UMNO menabur fitnah bahawa orang Melayu sudah berpecah. Perbincangan yang
dicadangkan
itu bertujuan untuk menyatupadukan kembali orang Melayu. Memang benar, orang
Melayu
sudah pun berpecah. Tetapi, perpecahan itu adalah di antara sebilangan besar
orang
Melayu yang menyahut saranan Anwar Ibrahim agar kebenaran dan keadilan ditegakkan di
negara ini. Yang ditentang adalah kumpulan minoriti yang masih berpaut pada
rasukan
kuasa Mahathir yang korup dan zalim kerana para penyokongnya itu masih
mengharapkan
sesuatu keuntungan daripada agihannya.
Apakah kesan perpecahan kepada satu bangsa yang dipisahkan oleh pemikiran
politik?
Orang Cina di Malaysia telah berpecah berdekad lamanya disebabkan politik.
Mereka
menjadi berpuak-puak menyokong perjuangan lurus DAP di pihak pembangkang dan
menyokong
perjuangan yang penuh kerakusan, MCA dan Gerakan dalam Koalisi Pemerintah (BN).
Namun
dalam kewujudan perpecahan itu orang Cina tidak pernah mempamerkan kecurigaan
terhadap
masa depan (destini) mereka yang digugat oleh perpecahan itu sehingga mencuit
hati
mereka untuk mengadakan satu majlis khas agar semua parti politik yang terbabit
bersidang
membincangkan perpaduan orang Cina. Cuitan rasa ini sudah pasti menggerakkan
pertemuan di
meja perundingan parti politik yang mendominasi kaum Cina seperti MCA,
Gerakan, DAP dan
SUPP. Sebagai satu kumpulan kaum, orang Cina harus merasa sangsi terhadap
perwakilan politik dan kedudukan mereka dalam perlembagaan negara yang
semakin
berkurangan disebabkan kerapnya dilakukan pindaan kepada perlembagaan negara
itu.
Sewajarnya orang Melayu harus meraikan kelahiran pergerakan Reformasi sebagai
satu
kebangkitan daripada era pengabdian oleh UMNO yang mengamalkan politik feudal
berbau
perkauman. Di zaman pembangunan IT dan globalisasi, cabaran masa depan orang Melayu
tidak ditentang oleh kaum Cina di Malaysia ini tetapi ia akan datang daripada
saingan
yang berada di luar negara. Terpulanglah, apakah kita akan bangkit bersama
sebagai satu
bangsa yang bersatu di bawah satu bendera ataupun terus dilekakan untuk ditelan
oleh
perjalanan sejarah.
Mereka dalam PAS dan Keadilan yang bersedia berbincang dengan Mahathir mengenai
perpaduan
Melayu itu harus membuat pertimbangan apakah yang akan mereka perolehi akhirnya
untuk
parti mereka, untuk orang Melayu dan untuk negara yang mereka cinta.
Mereka mesti menyoal diri sendiri: Apakah kepentingan orang Melayu sedang
digugat dan
diserang? Apakah hebat sangat serangan yang mereka hadapi itu sehinggakan
mereka sanggup
menyanggah prinsip asal mereka sanggup merungkai sokongan bukan Melayu untuk
semata-mata duduk semeja dengan seorang insan yang telah mengajar kita bahawa
dialah
manusia berhati syaitan yang membawa suasana kesyaitanan di negara ini? Apa
akan jadi
kepada kewibawaan mereka itu? Di manakah perginya janji merka terhadap
keadilan,
kesamaan, demokrasi dan pemerintahan yang berwibawa?
Tidak ada insan yang waras yang sanggup menafikan walaupun sejenak cuma, bahawa
tidak ada
bangsa lain selain daripada orang Melayu yang akan terus mewarisi kuasa politik
di
negara ini. Sama ada Barisan Nasional ataupun Barisan Alternatif yang akan
menerajui
arena politik negara ini melalui pilihan raya umum negara, kuasa politik itu akan
terus
kekal di tangan orang Melayu. Cuma ada perbezaan antara dua puak itu: Yang
pertama akan
terus memainkan api perkauman untuk terus memerintah seperti biasa, sedangkan
yang lagi
satu akan terus memberi penekanan kepada prinsip moral dan keunggulan
demokrasi. Sudah
tentu, tidak ada sesiapa yang sanggup meminda perlembagaan untuk membasmi
ataupun
mengurangkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak
seperti
termaktub dalam Artikel 153 dalam perlembagaan itu. Sebarang pindaan terhadap
perkara itu
pun tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan orang Melayu.
Bukannya sukar untuk memahami tindakan Mahathir mengajak PAS dan Keadilan di
waktu
ini. Sayap pemuda kedua-dua parti telah bertindak bijak menolak ajakan Mahathir
itu
sambil membogelkan motif sebenar ajakan itu ialah untuk memesongkan perhatian
umum kepada
masalah peribadinya. Kepimpinan Mahathir dalam UMNo memang sudah sampai ke
tahap yang
amat menggugatnya. Ini adalah ekoran ranapnya kubu kuat UMNO di negeri kelahiran
Mahathir
sendiri dan ia berlaku setelah pengundi Cina berpaling tadah menyokong BA.
Keaiban ini
diikuti pula secara bersiri akan segala skandal kewangan yang menyebabkan Mahathir membuat tindakan penyelamat untuk membantu para kroni dengan menggunakan dana
kerajaan.
(Tajuddin dan Renong memerlukan hampir 8 ribu juta). Mahathir telah dikritik
dengan
hebatnya kerana tindakannya itu oleh para pemimpin UMNO sedangkan sikap begitu
tidak
pernah berlaku sebelum itu. Apabila orang Cina dan Melayu sudah memperlekehnya,
ketokohan Mahathir sebagai seorang Perdana Menteri negara ini sudah sampai terjerumus di
bibir longkang keaiban yang dalam.
Sebarang usaha untuk menyetujui ajakan Mahathir membincangkan perpaduan Melayu
adalah
laksana mencampakkan satu tali penyelamat k arah seseorang yang semakin
tenggelam. Semua
TV dan radio serta akhbar perdana di negara ini di kuasai oleh Barisan Nasional.
Semua
media itu sedang galak sakan mencanangkan pertemuan itu. Tidak ada sesiapa yang
dapat
menjaminkan bahawa pertemuan yang dirancang itu tidak dijadikan bahan propaganda
di mana
Mahathir ditonjol sebagai seorang wira bangsa yang mampu menyatupadukan kembali
satu
bangsa yang dikatakan sedang berpecah.
Untuk menolak ajakan Mahathir membincangkan kisah bersatu padu itu, semua orang
Melayu
harus diberitahu dengan penuh keyakinan dan kebenaran. Ketua sayap pemuda PAS
dan
Keadilan telah berlaku bijak mengorak langkah yang betul. Memang tidak ada krisis
yang
tercetus disebabkan perpaduan bangsa yang renggang. Krisis yang ada hanya
wujud di
kalangan kepimpinan UMNO yang telah membalun segala hak rakyat marhaen atas
nama hak
keistimewaan orang Melayu, semata-mata untuk membesarkan tembolok mereka dan
para kroni.
Mereka telah memporakperandakan ekonomi negara disebabkan pengurusan yang tidak
cekap dan
korupsi. Mereka telah merobek-robek perlembagaan negara hingga kemerdekaan
negara
tercemar dan integriti semua institusi negara terpalit sama. Mereka inilah yang
telah
mengecewakan marhaen Melayu. Mereka inilah sepatutnya dihumban jauh-jauh dan
dihukum.
Seharusnya mereka tidak diberi peluang langsung untuk membangkitkan isu
perpaduan Melayu
ataupun perbincangan apa sahaja.
Sebagai rakyat yang taat dan setia kepada negaranya, kita (kami) menyokong dan
mengalu-alukan pendirian tidak berbelah-bagi yang dilakukan oleh Ketua Pemuda
PAS dan
Keadilan.
-Kim Quek-